Sunday, June 30, 2019

Saya suspek anak saya disleksia....

Saya suspek anak saya disleksia, apakah yang perlu saya lakukan dan dengan siapakah yang saya perlu berjumpa terlebih dahulu? Saya mendapat banyak pertanyaan sebegini daripada ibu bapa :- Saya suspek anak saya disleksia, apakah yang perlu saya lakukan dan dengan siapakah yang saya perlu berjumpa terlebih dahulu? Jawapan saya : Utamakan perkara yang lebih penting terlebih dahulu. 1) Buat Senarai Mulakan dengan membuat satu senarai masalah yang menyebabkan ibu bapa berpendapat bahawa anak ada menunjukkan ciri-ciri disleksia seperti :- a) Belum tahu membaca - Adakah anak berada di fasa mengenal huruf atau sudah mula membaca sukukata? - Sudah berapa lama anak belajar membaca? - Siapakah yang mengajar anak membaca? - Kaedah apakah yang digunakan untuk mengajar anak membaca? - Adakah pembelajaran Bahasa Melayu Bahasa Inggeris, Bahasa Arab atau Jawi diajar secara serentak? - Dengan menggunakan teknik tertentu, adalah sangat penting untuk memastikan sama ada anak boleh membaca melalui kaedah hafalan atau benar-benar boleh membaca tanpa menghafal. b) Belum tahu menulis - Adakah anak masih dalam fasa menconteng atau sudah mula membuat bentuk-bentuk tertentu atau sedang belajar menulis huruf / nombor? - Adakah anak sudah boleh menulis termasuk menyalin kembali atau menjawab soalan pemahaman atau membuat 'free writing' seperti menulis karangan? - Adakah masalah kekuatan jari anak menyebabkan kesukarannya untuk menulis? - Adakah masalah menulis anak disebabkan oleh 'hand-eye coordination' yang lemah? c) Perangai , pergaulan dan kesediaan untuk belajar - Daripada pemerhatian, lihat sama ada jika anak faham dan dapat menerima sesuatu arahan. - Berapa lama anak boleh fokus melakukan sesuatu perkara? - Adakah anak boleh bergaul bersama rakan sebaya? - Adakah anak boleh mengikut peraturan seperti berbaris untuk menunggu giliran dan sebagainya? d) Perkembangan fizikal - Antara contoh perkembangan fizikal kanak-kanak adalah seperti mengayuh basikal, lompat tali, lompat sebelah kaki, membaling bola, membuat anggaran balingan dan banyak lagi. - Antara kemahiran yang perlu diberi perhatian adalah kemahiran motor halus (fine motor skills), kemahiran motor kasar (gross motor skills), 'cognitive skill' dan sebagainya. - Gunakan Growth Development Chart sebagai panduan untuk melihat perkembangan fizikal anak sehingga umur 6 tahun. - Jika kurang pasti akan sesuatu perkara, rujuk Jurupulih Kerja untuk mendapatkan kepastian. e) Pertuturan dalam perbualan - Sila rujuk 'speech therapist' untuk mengenalpasti tahap pertuturan anak dalam perbualan melalui 'speech development chart'. Dan banyak lagi faktor-faktor lain yang perlu diambil kira dalam membuat senarai perkembangan anak ini. Jangan lupa senaraikan juga kekuatan dan kelebihan yang ada pada anak. Sebagai contoh, anak mempunyai tenaga fizikal yang kuat, boleh membuat aktiviti fizikal tanpa berasa jemu dan penat, sangat berkebolehan dalam hal-hal berkaitan komputer, sangat petah berkata-kata, boleh bermain lego berjam-jam lamanya tanpa jemu, dan sebagainya. 2) Jumpa Doktor / Occupational Therapist (OT) / Guru Gunakan senarai ini apabila anda berjumpa dengan doktor, OT dan juga guru. Ia juga boleh digunakan sebagai 'cheklist' di mana sebarang pencapaian dan progress anak seharusnya diraikan agar dapat membakar semangat mereka untuk melakukan yang lebih baik lagi. Sekiranya terdapat permasalahan baru, ibu bapa hanya perlu menambah perkara tersebut ke dalam senarai ini sebagai panduan untuk memantau mereka pada hari-hari akan datang. . . . 2 Perkara ini hanyalah sebahagian daripada langkah permulaan yang boleh diambil oleh ibu bapa. Banyak lagi faktor yang perlu diketahui dan dikaji. Jadi, dengan siapa patut anda berjumpa terlebih dahulu? Lihat senarai tadi, buat pilihan tentang masalah yang mana satu yang lebih penting dan perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika anda memilih untuk membantu anak dari segi membaca terlebih dahulu, bawa anak berjumpa dengan guru membaca / reading tutor / pergi ke kelas phonic / OT. Jika anda ingin menekankan tentang masalah 'multi sensory' anak / perkembangan fizikal / behaviour anak, anda boleh berjumpa dengan jurupulih kerja, Speech Therapist / Guru Pendidikan Khas / Psychologist / Clinical Psychologist. Masing-masing mempunyai kepakaran tertentu untuk dijadikan rujukan buat kita sebagai ibu bapa dalam usaha membantu anak-anak. . . . Disleksia bukan sahaja berkait rapat dengan membaca atau menulis, tetapi sebenarnya turut melibatkan banyak perkembangan lain. Label yang seringkali didengari seperti Disleksia, ADHD, ASD, GDD dan lain-lain hanya sebagai panduan dalam mendiagnosis masalah perkembangan anak-anak. Perkara yang lebih penting adalah fahami keperluan dan permasalahan mereka agar mereka dapat dibantu untuk merealisasikan potensi sebenar diri mereka. Yakinlah bahawa mereka juga mampu berjaya seperti insan lain dengan pendekatan yang betul.

* Disunting oleh Puan Eyza Faizah

No comments:

Post a Comment